Tuesday, July 9, 2013

PUASA SATU IBADAH

PUASA SATU IBADAH



RAMADAN yang dinanti-nantikan umat Islam kembali lagi membawa seribu satu rahmat dan keberkatan. 

Setiap umat Islam perlu merebut peluang keemasan itu dengan memanfaatkan setiap detik dalam bulan Ramadan dengan perkara yang diredai-Nya. 

Sebuah hadis sahih menerangkan secara jelas ganjaran besar sentiasa menanti orang Islam yang benar-benar memanfaatkan bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan. 

Tiada ganjaran lebih besar selain Allah SWT mengampunkan dosa hamba-Nya yang tidak pernah lekang melakukan dosa. 

 


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

 

 

Namun, dalam keghairahan merebut peluang keemasan sepanjang Ramadan, terdapat beberapa perkara yang terlepas daripada kawalan kita.



Mungkin sesetengah pendapat melihat perkara itu remeh, hakikatnya ia mampu mencacatkan ibadah puasa, malah mungkin menyebabkan puasa kita tertolak. 

 

 



 

 

 

Setiap Muslim perlu faham berpuasa itu ibadah yang diperintahkan Allah, ia bukan adat yang menjadi ikut-ikutan masyarakat atau budaya setempat. 



Justeru, pelaksanaan puasa perlu dilakukan dengan ilmu yang betul. Bagi memastikan ibadah mencapai tahap terbaik beberapa perkara perlu diambil perhatian antaranya bersahur pada waktunya. 



Amalan bersahur membezakan ibadah puasa umat Islam dengan puasa yang dilakukan orang lain. Mungkin ramai di kalangan kita mengambil jalan mudah dengan makan pada lewat malam dan meninggalkan sahur. 



Perkara itu tidak tepat kerana bersahur itu sunat dilakukan pada akhir waktunya iaitu sebelum masuk waktu Subuh. Sesungguhnya terdapat keberkatan yang menunggu mereka yang bersahur. 



Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 



Kedua, menyegerakan berbuka puasa. Sekiranya yakin masuknya waktu Maghrib, maka kita mesti segera berbuka. 



Itu antara keindahan Islam yang menjanjikan seribu satu rahmat dan kebaikan terhadap umatnya yang melakukan ibadah dengan tepat menurut garis panduan yang ditetapkan. 



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis riwayat Bukhari) 

 


Ketiga, bersederhana ketika berbuka. Antara cabaran utama golongan yang berpuasa ialah mengawal nafsu makan ketika berbuka puasa. 



Pelbagai juadah akan dibeli atau disediakan sehingga akhirnya hanya sebahagian saja yang mampu dihabiskan. 



Manakala bakinya dibuang begitu saja. Jika keadaan itu tidak dikawal, maka sudah pasti ibadah puasa yang dilakukan hampir separuh hari itu tidak mampu mendidik jiwa dan mengawal hawa nafsu dengan sempurna. 


Jika dilihat daripada sunnah Rasulullah s.a.w, Baginda amat bersederhana ketika berbuka puasa. “Rasulullah berbuka puasa dengan kurma rutab sebelum solat dan sekiranya tiada rutab maka dengan tamar dan jika tiada, Baginda meminum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Abu Dawud, Ahmad dan al-Tirmidzi) 


Keempat, menunaikan solat pada awal waktu secara berjemaah. Ibadah puasa adalah ibadah utama, namun solat lima waktu adalah lebih utama untuk ditunaikan dengan lebih sempurna. 


Kita seharusnya berlumba-lumba untuk menunaikan solat pada awal waktu dan dilakukan secara berjemaah. Rasulullah ketika ditanya sahabat berkaitan amalan yang terbaik, Baginda menjawab: “Solat pada awal waktunya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan Abu Dawud) 



Lebih malang, jika terdapat umat Islam yang berpuasa dalam bulan Ramadan tanpa menunaikan ibadah solat lima waktu. 



Kelima, memperbanyakkan doa. Antara keadaan doa dimakbulkan Allah ialah apabila ia dilakukan orang yang sedang berpuasa. Itulah antara rahmat yang diperoleh umat Islam pada bulan Ramadan. 



Setiap permintaan dan hajat yang baik dan dipohon dengan ikhlas dan rendah diri, pasti dimakbulkan Allah. Ambillah peluang untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan, keamanan, keberkatan, keampunan buat seluruh umat Islam di segenap pelusok dunia. 



Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak akan tertolak.” (Hadis riwayat Ibn Majah) 



Keenam, sentiasa ingat kepada Allah dengan berzikir. Sebagai hamba Allah, kita tidak boleh alpa dengan keindahan dunia yang sebenarnya hanya sementara.



Justeru, kita perlu rebut peluang suasana Ramadan supaya dapat menumpukan ingatan kepada Allah. Mengingati Allah adalah strategi paling berkesan bagi menghindari diri terjebak dengan maksiat yang disebabkan oleh lidah. 



Saidatina Aisyah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat.” (Hadis riwayat Muslim). 



Dengan berzikir mengingati Allah juga, kita akan memperoleh ketenangan dalam melakukan ibadah puasa. 

 

 



 

 

 

Ketujuh, bertadarus al-Quran. Jika disingkap dalam sirah Rasulullah, tadarus al-Quran adalah sunnah Rasulullah. Baginda bertadarus dengan malaikat Jibril pada setiap Ramadan dan pada Ramadan terakhir sebelum kewafatan Baginda, mereka bertadarus sebanyak dua kali. 



Sebenarnya tadarus ialah apabila ia dilakukan dua pihak, iaitu satu pihak membaca, manakala pihak kedua pula mendengar sambil memperbetulkan kesilapan bacaan dan seterusnya secara bergilir-gilir. 



Itulah konsep tadarus yang sebenar. Bertadarus bukan untuk tujuan berlumba khatam al-Quran, tetapi memperbetulkan bacaan dan menghayati isinya. 



Ketujuh, meningkatkan prestasi kerja di bulan Ramadan. Pada bulan ini, kebanyakan tempat kerja khususnya dalam sektor kerajaan akan menamatkan waktu operasinya lebih awal. 



Pekerja seharusnya ­memanfaatkan waktu bekerja di bulan Ramadan dengan lebih sempurna. 



Apa yang pasti, ganjaran pahala yang bakal diterima mereka yang melakukan kerja dengan penuh amanah dan keikhlasan akan digandakan pada bulan Ramadan. 



Kelapan, mengawal setiap kata-kata dan perbuatan. Perkara buruk seperti melemparkan kata-kata buruk dan kesat, mengumpat, menyebarkan fitnah adalah antara perkara yang amat mudah terdedah kepada kita. 



Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan tutur kata dan perbuatan buruk (ketika berpuasa), maka tiadalah bagi Allah berhajat kepada penahanan makanan dan minuman (seseorang yang berpuasa itu).” (Hadis riwayat Bukhari) 



Kesembilan, jujur dalam perniagaan dan jual beli. Sememangnya Ramadan juga membuka pintu rezeki seluas-luasnya kepada umat Islam. Di Malaysia, banyak bazar Ramadan diadakan bagi memudahkan umat Islam membuat persediaan berbuka puasa. 



Maka, peniaga wajib memahami etika perniagaan dalam Islam. Pembohongan dalam perniagaan adalah sesuatu yang haram dan balasan yang pedih menanti mereka. 

 


Mungkin terdapat peniaga yang menjual semula makanan yang tidak habis dijual kepada pembeli pada hari berikutnya. Itu antara penipuan yang jelas menyalahi garis panduan yang ditetapkan Islam. 



Umat Islam perlu terus menimba ilmu berkaitan perkara yang perlu dibuat dan ditinggalkan semasa menjalani ibadah puasa. Meskipun sudah puluhan tahun menjalani ibadah sama, sebenarnya masih terdapat kekurangan. 



Tidak mungkin sama kualiti puasa ketika berusia 13 tahun dengan usia sekarang 30 tahun. 



Selagi kita berusaha mendalami ilmu berkaitan puasa, selagi itulah kualiti puasa kita akan terus meningkat sehingga mampu memperoleh darjah takwa seperti yang dijanjikan Allah.

 *credit to seribupilihan

No comments:

Post a Comment